Mahasiswa Malaysia Di Mantiqah Irbid, Jordan
Irbid merupakan sebuah bandar yang terletak jauh di utara Jordan. 88 kilometer daripada Amman, ibu negara Jordan dan hanya 10 kilometer daripada sempadan Syria.
Irbid yang dahulunya dikenali sebagai Arabella merupakan bandar kedua terbesar selepas Amman dan dianggap sebagai bandar pendidikan disebabkan kewujudan beberapa buah universiti. Terdapat 10 buah institusi pendidikan tinggi di Irbid yang menempatkan lebih 70 000 pelajar, 8000 daripadanya terdiri daripada pelajar luar negara.
Irbid juga dikenali disebabkan di sini terdapatnya medan peperangan Yarmouk. Di mana Khalifah Umar Al-Khattab R.A menghantar ekspedisi tentera untuk memerangi empayar byzantine di bawah pimpinan Panglima Khalid Al-Walid R.A.
Terdapat dua buah universiti yang menempatkan mahasiswa daripada Malaysia :
Bulatan Utama, Universiti Yarmouk |
Pintu Utama, Jordan University of Science & Technology ( JUST ) |
Universiti Yarmouk menawarkan kursus pengajian Syariah Islam (Bahasa Arab, Usul fiqh, Usuluddin, Ekonomi dan Perbankan Islam, Pendidikan Islam) manakala JUST menawarkan kursus pengajian sains (Perubatan, Pergigian, Fizik)
Jordan merupakan lokasi yang sangat ideal bagi sesiapa yang mahu meningkatkan penguasaan bahasa arab. Sistem pembelajaran di Universiti Yarmouk yang menggunakan bahasa arab sebagai bahasa utama menjadikan mahasiswa Pengajian Syariah Islam mampu bertutur dalam bahasa arab dengan fasih selepas beberapa bulan menuntut di sini. Bagi yang tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa arab, pihak Universiti Yarmouk menyediakan kursus pusat bahasa selama satu semester untuk mahasiswa meningkatkan penguasaan bahasa arab.
JUST pula, Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dalam pembelajaran di kuliah Perubatan dan Pergigian, manakala bagi fizik pula masih lagi menggunakan bahasa arab. Namun begitu, sistem di JUST yang tidak mengasingkan mahasiswa Malaysia dan arab menyebabkan mahasiswa di sini mudah bergaul dan berkenalan antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa dan bahasa. Melalui hubungan ini, mahasiswa dapat belajar sedikit demi sedikit tentang budaya masyarakat arab dan yang paling penting sekali dapat menguasai bahasa arab dari semasa ke semasa. Selain itu, Pihak JUST juga menyediakan kelas bahasa arab pada tahun pertama pengajian yang wajib diikuti oleh semua mahasiswa JUST yang tidak menggunakan bahasa arab sebagai bahasa pertuturan(non arabic speaker).
Mahasiswa Malaysia di Irbid menetap secara berkelompok di kawasan Syari'e Jamiah(Jalan Universiti). Penempatan mahasiswa ini berhampiran dengan Universiti Yarmouk di mana perjalanan ke Universiti Yarmouk hanya mengambil masa kira-kira 5 minit berjalan kaki. Manakala JUST pula terletak lebih 10 kilometer daripada kawasan penempatan mahasiswa, oleh itu mahasiswa JUST perlu menaiki bas untuk ke universiti setiap hari. Perjalanan ke JUST mengambil masa kira-kira 25 minit bergantung kepada kepantasan bas.
Mahasiswa di Irbid bersatu di bawah Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI), di mana kedua-dua pengkhususan yang berbeza(sains dan syariah) berganding bahu menjalankan pentadbiran. Perpaduan antara mahasiswa kedua-dua pengkhususan ini menjadikan Irbid sebuah mantiqah yang unik.
Logo Rasmi Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) |
Majlis Mahasiswa ini berfungsi sebagai penghubung antara pelajar dan pihak universiti. Juga berfungsi sebagai penghubung antara pelajar dan pihak EMJ. Selain itu, Majlis ini juga bertanggungjawab terhadap program-program peningkatan akademik dan sahsiah mahasiswa. Antara program yang dijalankan ialah :
Majlis Mahasiswa Yarmouk
- Projek Bedah Buku
- Kelas Tambahan Berdasarkan Pengkhususan
- Akademi Syariah MMY (ASM)
- Liqa' Mahabbah
- Munajat Rabbani
Majlis Mahasiswa JUST
- Kelas "Paramedic Team"
- Back To School
- Conjuring Excellence Campaign
- Write The Future
- Introduction To Research (INTEREST)
- Program Pengukuhan Bahasa Arab Ammi' Pelajar Klinikal
- Miniclinic
PERMAI sebagai satu-satunya persatuan yang mengelola mahasiswa Malaysia di mantiqah Irbid menjalankan pelbagai aktiviti bagi membina modal insan yang seimbang dunia dan akhirat. Pelbagai program kemasyarakatan yang merangkumi aspek pembinaan rohani, jasmani, sahsiah dan peningkatan kendiri dirangka dan dijalankan. Antaranya :
Kelas Tafaquh Mingguan
Merupakan kelas pengajian agama secara talaqi, tenaga pengajarnya merupakan mahasiswa Malaysia dalam jurusan syariah di Universiti Yarmouk yang akan mensyarahkan kitab yang terpilih. Antara kelas yang diadakan ialah pengajian aqidah dan fiqh. Mahasiswa juga berpeluang mengikuti kelas talaqi bersama syeikh berbangsa arab di madrasah-madrasah yang terdapat di Jordan ini.
PINTAR merupakan sebuah projek khas PERMAI. Berbentuk usrah di mana setiap ahli akan dibahagikan kepada kumpulan yang kecil dan diketuai oleh seorang naqib. PINTAR Bertujuan membina kefahaman dan kesedaran sebagai seorang mahasiswa muslim. PINTAR juga berfungsi sebagai saluran pembentukan peribadi Muslim yang soleh. Peribadi-peribadi yang terbentuk diharapkan memiliki sifat-sifat terpuji, akhlak Islam asasi, tidak dikotori oleh bentuk-bentuk kemusyrikan dan tidak memiliki hubungan dengan pihak-pihak yang memusuhi Islam serta cakna terhadap perjalanan aktiviti PERMAI dan permasalahan ahli PERMAI.
PSL merupakan liga bola sepak yang diadakan untuk mahasiswa(lelaki) Irbid. Ini selari dengan usaha untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki jasmani yang sihat. Selain itu, saban tahun diadakan juga Karnival Sukan PERMAI untuk semua ahli.
FM '11 merupakan program yang menggabungkan kepakaran mahasiswa kedua-dua jurusan yang terdapat di Irbid iaitu sains dan syariah. FM '11 memfokuskan kepada menyelesaikan permasalahan fiqh yang berkaitan dengan dunia perubatan. Program ini menjadi asas penyatuan antara mahasiswa universiti Yarmouk dan JUST secara intelektual, bukan hanya sekadar dari sudut kemasyarakatan. Dalam program ini, beberapa kumpulan dibentuk yang terdiri daripada mahasiswa JUST dan Yarmouk. Setiap kumpulan akan diberi masalah perubatan yang tertentu untuk diperbincangkan dari sudut sains dan syariah.
Selain itu, setiap tahun juga PERMAI akan mengadakan pakej umrah dengan harga yang berpatutan (JD150-170 = RM 600-800). Kedudukan Jordan yang bersebelahan dengan Arab Saudi membolehkan mahasiswa pergi menunaikan umrah dengan hanya menaiki bas! Namun begitu, pakej ini hanya untuk mahasiswa lelaki berikutan syarat mahram yang diletakkan oleh kerajaan Arab Saudi. Mahasiswi wanita yang mahu mengikuti pakej umrah melalui Jordan ini perlu bersama-sama dengan lelaki mahram yang juga belajar di Jordan ataupun suami.
Dari sudut kemasyarakatan pula, di bawah PERMAI diwujudkan Jawatankuasa Kerja Keselamatan dan Kebajikan(JKKKK). Entiti ini berfungsi menyelia keselamatan dan kebajikan mahasiswa, antara tugasan entiti ini ialah :
- Membantu mahasiswa dalam mengambil tindakan atas sebarang kes-kes keselamatan (pecah rumah, gangguan, dan sebagainya)
- Menjaga kebajikan mahasiswa dari sudut kewangan, keselamatan ataupun kesihatan
- Mengendalikan tabung kebajikan (khairat kematian dan takaful)
Selain itu, Jawatankuasa Kerja Perhubungan dan Penempatan(JKKPP) diwujudkan bagi membantu mahasiswa khususnya mahasiswa baru dalam urusan sewa rumah ataupun pembelian barang-barang keperluan asas rumah (almari, katil, barangan elektrik).
artikel ini diambil & diedit dari tab Study In Jordan, Permaijordan.com.
0 comments:
Post a Comment